SAND ART COMPETITION” ANJURAN ‘BSN FIESTA’
- IDENTITY 36
- May 7, 2018
- 2 min read
Updated: May 17, 2018

Oleh: Nur Afifah Binti Azmi
Email: iefaazmi96@gmail.com
Sintok, 16 Mac – “Sand Art Competition” dianjurkan oleh BSN Fiesta secara umumnya bertujuan untuk memberi penekanan kepada kanak-kanak dalam seni berasaskan pasir. Selain itu, acara ini juga mampu meningkatkan daya saing antara kanak-kanak dalam acara yang dijalankan. “Sand Art Competition” ini hanya dibuka khas kepada kanak-kanak berumur 5 Tahun sehingga 12 Tahun sahaja.
Acara ini dibahagikan kepada dua kategori di mana Kategori A melibatkan kanak-kanak berumur 5 sehingga 8 tahun manakala Kategori B melibatkan kanak-kanak berumur 9 sehingga 12 tahun. Seramai 20 orang kanak-kanak yang menyertai pertandingan ini hasil daripada dorongan oleh ibu bapa mereka. Pertandingan ini bukan sahaja disertai oleh kanak-kanak tempatan malah terdapat juga beberapa orang kanak-kanak antarabangsa yang menyertai pertandingan seni berasaskan pasir ini.
Cik Anetha Subramaniam selaku pengarah acara ‘Sand Art Competition’ berkata acara ini bertujuan untuk mengasah bakat serta minat kanak-kanak terhadap seni lukis dengan penglibatan mereka dalam acara yang dianjurkan ini. Beliau juga merupakan mahasiswi UUM yang turut menginap di Inapan Siswa BSN itu sendiri.
“Acara yang dianjurkan ini secara tidak langsung menjadi asas untuk menonjolkan kreativiti yang dimiliki oleh kanak-kanak ini”, katanya berkenaan dengan acara yang dianjurkan tersebut. Menurut Cik Anetha, pemenang untuk pertandingan seni lukis berasaskan pasir warna ini akan ditentukan berdasarkan cara kanak-kanak itu mengenakan warna ke atas lukisan yang disediakan.
Antara aspek penting yang diambil kira dalam menentukan pemenang untuk acara ‘Sand Art Competition’ adalah kekemasan, kesesuaian ton warna yang dikenakan dan keseluruhan bahagian yang diwarnakan. Secara tidak langsung, elemen ini menjadi rujukan kepada kanak-kanak untuk mewarna dengan betul.
Meskipun begitu, acara yang dianjurkan ini merupakan acara yang santai di mana kanak-kanak bebas memilih karakter dan warna pilihan mereka sendiri serta bebas untuk bergerak kerana tapak ‘Sand Art Competition’ ini diadakan di kawasan yang luas. Kanak-kanak ini juga boleh merujuk terus dengan pihak yang terlibat iaitu ahli jawatankuasa program tersebut untuk bertanyakan konsep mewarna dengan betul.
Kanak-kanak yang terlibat diberi masa yang cukup untuk mewarnakan karakter yang dipilih sebelum diberikan kepada pihak yang menguruskan acara tersebut untuk sesi penilaian. Sesi penilaian bagi pemenang untuk acara ‘Sand Art Competition’ ini akan ditentukan oleh pengarah program itu sendiri.
Pemenang untuk acara mewarna berasaskan pasir ini dibuka khas kepada tiga tempat berserta dengan hadiah saguhati untuk peserta yang menyertai. Pemenang untuk acara ini diumumkan secara langsung selepas penilaian dilakukan pada hari yang sama berlangsungnya acara tersebut.
Berdasarkan beberapa temubual yang dijalankan terhadap ibu bapa kepada kanak-kanak yang menyertai ‘Sand Art Competition’ ini, mereka menghantar anak-anak mereka ke acara ini disebabkan minat anak-anak dalam kesenian. Secara tidak langsung, ini mampu mengasah bakat kanak-kanak tersebut dalam bidang seni.
“Objektif kami untuk menjalankan “Sand Art Competition” ini sesungguhnya tercapai dalam menjalankan aktiviti yang berteraskan pendidikan dan hiburan untuk kanak-kanak. Oleh itu, keberhasilan acara yang dianjurkan ini diharapkan dapat dianjurkan semula dengan penyertaan yang lebih ramai” kata Cik Anetha secara langsung semasa ditemubual.
Dalam pada itu, pelbagai aktiviti dan acara lain turut dianjurkan oleh Inapan Siswa BSN bersempena dengan ‘BSN Fiesta’ yang berlangsung bermula daripada 14 Mac sehingga 17 Mac 2018. Pelbagai gerai makanan terutamanya turut dibuka khas bagi pengunjung yang datang untuk memeriahkan lagi suasana di sana.
Comments