OBS LAHIR GENERASI CINTA BUDAYA MALAYSIA
- IDENTITY 36
- May 7, 2018
- 2 min read
Updated: May 17, 2018

Oleh: Nur Shafiqah binti Rozizan E-mail: shafiqah96rozizan@gmail.com
SINTOK - 7 Mac 2018 satu program OBS telah diadakan di Laman Siswa Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM). Dalam memastikan semangat cinta kebudayaan dan kesenian bangsa Malaysia terus diperkukuhkan daripada segenap lapisan penjuru, sudah tentu perencanaan pertama perlu difikirkan adalah generasi pelapis. Program yang dianjurkan oleh PBS ini adalah bertujuan untuk memupuk minat dan mencari pelapis baru dalam bidang kebudayaan dan kesenian.
Objektif program ini adalah untuk memaparkan karisma mahasiswa, mencungkil bakat yang boleh dibina dalam diri mahasiswa serta dapat mendorong membentuk jati diri dan semangat cintakan budaya bangsa dalam kepimpinan mahasiswa.
Menurut Pengarah PBS Encik Huzaidy bin Haji Hussain, keperluan dalam menceburi bidang ini adalah sebagai satu persediaan awal serta mempunyai nilai tambah yang boleh digunakan apabila berhadapan dengan masyarakat kelak.
“Peluang ini haruslah direbut oleh setiap mahasiswa sebagai satu landasan medium terbaik untuk melahirkan aktiviti dan pelapis bukan sekadar memberi komitmen dalam sebarang bentuk aktiviti bahkan mempunyai pengetahuan baru dalam kebudayaan dan kesenian bangsa Malaysia”, tambahnya lagi.
"Kekuatan perancangan PBS terletak kepada hakikat bahawa PBS bukanlah hanya sekadar mencungkil bakat kesenian, bahkan sebaliknya PBS secara berterusan mendidik mereka dengan menekankan adat dan tradisi bangsa”, katanya lagi.
OBS adalah program uji bakat terbuka kepada semua mahasiswa UUM dan PBS telah menawarkan lapan skop utama kebudayaan iaitu muzik, tarian, lukisan, apresasi sastera, nasyid, teater, keperluan teknikal dan juga pengurusan acara.
Ramai para pengunjung yang terdiri daripada pelajar UUM, staf-staf PBS serta orang awam yang datang ke program tersebut. Selain itu, turut hadir juga Encik Jamil bin Mat iaitu Penasihat Kelab Bidasari hadir bersama-sama bagi memeriahkan lagi OBS pada malam itu. Tidak ketinggalan juga tiga belas kelab dibawah PBS antaranya ialah kelab muzik, kelab bidasari, kelab seni lukis, kelab pendita, kelab teater, kelab nasyid, kelab jahitan dan memasak, kelab fotografi, kelab kebudayaan jepun dan juga sekretariat budaya.
Bukan itu sahaja, para pengunjung yang hadir turut disajikan dengan persembahan oleh setiap
kelab yang bertujuan bagi memperkenalkan kelab mereka dan sekaligus menarik minat pelajar untuk berdaftar sebagai ahli. Turut berlangsung juga pesta makanan atau gerai-gerai makanan yang terdapat pada malam itu bagi memeriahkan lagi suasana sempena minggu 3K iaitu Keusahawanan, Kebudayaan dan Kesenian yang berlangsung di PBS.
Program ini adalah salah satu pendekatan yang digunakan oleh PBS dalam mendidik mahasiswa yang akan berfungsi sebagai seorang pemimpin negara pada suatu hari nanti.
Comments