PUSAT KAUNSELING UUM BANTU PELAJAR SECARA HOLISTIK
- IDENTITY 36
- May 7, 2018
- 2 min read
Updated: May 17, 2018

Oleh: SYAFIQAH NADHIRAH ABDUL GANI
Emel : syafiqahnadhirahag@gmail.com
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA 13 Mac - Sebuah program iaitu ‘Rahsia Cemerlang di IPTA melalui pengiraan PMS dan PMK’ telah dijalankan demi membantu pelajar khususnya daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mencapai keputusan akademik yang mereka sasarkan. Program ini berlangsung di Dewan Serbaguna Pusat Penginapan Pelajar (SAC), bermula pada 9:00 pagi sehingga 12:30 tengah hari dan telah melibatkan seramai 30 orang pelajar.
Menurut pengarah program ‘Rahsia Cemerlang di IPTA melalui pengiraan PMS dan PMK’ Nur Dalila Binti Saidin, matlamat program ini diadakan adalah untuk melahirkan lebih ramai lagi graduan yang berkualiti.
“Untuk menjadi pelajar cemerlang, kita harus ingat bahawa menjaga hubungan itu sangat penting. Bukan sekadar hubungan bersama ibu bapa, keluarga, pensyarah dan rakan-rakan malah yang paling utama adalah menjaga hubungan bersama Pencipta” kata penceramah jemputan iaitu Cik Nurly daripada Pusat Kaunseling UUM.
Dalam mencapai matlamat mendapatkan keputusan akademik yang cemerlang, antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah strategi pembelajaran. Menurut Cik Nurly, strategi yang pelajar boleh gunakan adalah ulang kaji sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari supaya otak akan terbiasa dengan silibus setiap subjek.
Untuk menjadi pelajar yang cemerlang, sahsiah juga perlu dijaga. Melanggar peraturan universiti akan mengakibatkan seseorang pelajar itu dikenakan tindakan disiplin seperti amaran, digantung atau dibuang terus daripada universiti. Perkara ini secara lansung menjejaskan akademik pelajar.
Cara pengiraaan Purata Markah Keseluruhan (PMK) dan Purata Markah Semasa (PMS) yang betul diajar agar peserta program berupaya untuk mengatur strategi permarkahan daripada awal semester. Dimaklumkan bahawa nilai gred A semasa awal-awal semester seperti semester 1, 2 dan 3 adalah lebih tinggi berbanding diakhir-akhir semester.
Tindakan segelintir pelajar yang sengaja menyimpan subjek mudah untuk akhir-akhir semester adalah kurang bijak. Pelajar seharusnya mengikut tentatif program yang telah disediakan oleh koordinator. Hal ini akan mempengaruhi pengiraan PMS dam PMK pada masa hadapan.
Pelajar yang mempunyai masalah tentang pembelajaran boleh datang ke Pusat Kaunseling untuk mendapatkan konsultasi daripada kaunselor yang ada di sana. Pihak kaunselor akan membantu pelajar untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang mereka hadapi.
Sesi soal jawab diadakan diakhir program untuk memastikan tahap kefahaman peserta. Maklumbalas daripada peserta semasa hari kejadian, rata-ratanya selesa dengan pendekatan tersebut.
Menurut salah seorang peserta program iaitu Natasha Hani Binti Zainol Hisam, disebabkan program ini berlansung secara santai, dia senang untuk memahami setiap info yang disampaikan oleh penceramah.
Program ini sudah merupakan program wajib yang akan dianjurkan oleh Pusat Kaunseling UUM pada setiap semester. Bagi pelajar yang berminat untuk mengetahui tips mencapai keputusan yang mereka sasarkan, bolehlah mendaftar untuk Program ‘Rahsia Cemerlang di IPTA melalui pengiraan PMS dan PMK’ siri kedua.
Comments