top of page

KENAPA AKU MEMILIH ISLAM

  • Writer: IDENTITY 36
    IDENTITY 36
  • May 7, 2018
  • 3 min read

Updated: May 17, 2018

ree

Oleh : Ahmad Nizar bin Azham

Emel : nizarazham@gmail.com


SINTOK 18 MAC – Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu program ceramah Maghrib khas yang bertajuk Kenapa Aku Memilih Islam di Surau Laluan C UUM pada 18 Mac 2018 yang melibatkan para pelajar daripada Inasis Yayasan Al-Bukhary dan Inasis Bank Muamalat. Program yang dianjurkan itu bertujuan untuk memberi kesedaran dalam kalangan mahasiswa akan kepentingan ilmu agama terhadap kehidupan seharian selain menceritakan pengalaman penceramah memeluk Islam untuk diambil pengajaran.


“Setelah lebih 14 tahun berada dalam agama Islam, saya telah berjaya mengislamkan hampir 2000 lebih orang dibawah Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM)” kata Ustaz Mohd Farhan Bin Abdullah Al-Hafiz, 49 tahun, yang juga merupakan Pengetua sebuah Maahad Tahfiz di Sabah


Menurut Mohd Farhan atau sebelum ini digelar sebagai Pastor Yohanes, anak kepada seorang ketua kepada 15 buah gereja di Sabah, sudah pastilah dia memiliki latar belakang pendidikan beraliran Kristian yang mantap sekitar 26 tahun dahulu. Namun, dua persoalan mengenai agama Kristian yang sering menjadi kekeliruanya ialah konsep Trinity dan Majlis Pengampunan Dosa iaitu Baptis yang akhirnya membawanya kepada Islam.


Mohd Farhan yang memeluk Islam pada 26 Februari 1990 di Pusat Latihan Dakwah Keningau, Sabah berkata, dia mula tertarik kepada Islam semasa belajar di Institut Teknologi Mara, cawangan Sabah (sekarang UiTM). Beliau ketika itu mempunyai pengetahuan tentang selok belok agama Kristian sering berdebat dengan seorang pensyarah subjek Pengajian Islam mengenai kenyataanya yang menimbulkan provokasi iaitu Tuhan Allah tidak pernah sesekali sama dengan Tuhan agama lain.


“Sebagai seorang muallaf, cabaran terbesar yang terpaksa saya hadapi ialah tentangan daripada keluarga dimana ayah saya pernah cuba untuk menembak saya dengan senapang patah miliknya namun kuasa Allah melebihi segala-galanya, tembakannya tersasar” ujarnya.


Beliau sempat berpesan kepada para pelajar UUM yang hadir pada malam itu agar sentiasa melazimi bacaan Al-Quran dan melibatkan diri dengan kerja-kerja dakwah kerana setiap daripada kita adalah pendakwah, menurutnya.


“Saya juga menyeru para pelajar disini agar mengambil kesempatan untuk pergi berdakwah di pedalaman Sabah kerana mereka sangat memerlukan cahaya hidayah Islam dan cabaran sebenar berdakwah bermula disana” tambahnya.


Menurutnya lagi, selepas peristiwa itu, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah keluar daripada perkampungannya untuk pergi menuntut ilmu agama. Namun begitu, sebelum meninggalkan keluarga, anak kedua daripada enam adik-beradik ini berazam untuk membawa bersama keseluruhan ahli keluarganya kepada Islam. Beliau mendalami ilmu agama pada mulanya di Perkim Pengkalan Chepa Kelantan selama 3 tahun kemudian menuntut di Pondok Pasir Tumboh Kelantan sebelum mengambil Diploma Tahfiz Quran di Darul Quran JAKIM dan pada tahun 2000 hingga 2003 di Shoubra Al-Azhar Mesir mengambil jurusan Al-Quran dan Qiraat.


“Setelah berhijrah selama 8 tahun, kerinduan pada keluarga saya sudah tidak dapat ditahan lagi dan akhirnya saya pulang semula ke Sabah dan demi Allah saya katakan, sijil ijazah saya dari Mesir itu tidak saya gunakan untuk mencari pekerjaan, namun semata-mata kerana dakwah agama ini” katanya lagi.


Berkat doa dan kesabaran Ustaz Farhan, ibunya menjadi ahli keluarga beliau yang pertama memeluk Islam kemudian diikuti adik-beradiknya yang lain. Ayahnya memeluk Islam setahun kemudian hasil daripada doa beliau dan keluarga yang tidak berhenti berusaha memujuknya.


Sambil memetik ayat daripada Al-Quran daripada Surah Al-Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” beliau berkata ayahnya kemudian dipukul dengan teruk setelah memeluk Islam oleh rakan-rakannya dari agama Kristian sehingga menerima beberapa jahitan di kepala dan mendapat rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.


Pada kesempatan ini juga Mohd. Farhan menyeru bantuan sumbangan orang ramai untuk mendirikan bangunan bagi kerja-kerja dakwah di pedalaman Sabah. Beliau boleh dihubungi melalui talian 019-5856363.

Majlis selesai dengan solat Isya secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Farhan sendiri dan sedikit jamuan ringan disediakan oleh pihak penganjur.

Comments


© 2018 by IDENTITY 36. Proudly created with Wix.com

Unknown Track - Unknown Artist
00:0000:00

Thanks! Message sent.

bottom of page