KEMPEN DERMA DARAH TERUS DIPERGIAT DI INSTITUSI PENGAJIAN
- IDENTITY 36
- May 7, 2018
- 2 min read
Updated: May 17, 2018

By : Nur Haniza bt Mahamad Yusof (246356)
Emel : hannyzayusof96@gmail.com
SINTOK, 4 Mac- Universiti Utara Malaysia (UUM) terus kekal menerima kunjungan daripada Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah yang dianjurkan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU) yang berlangsung selama dua hari sehingga 6 Mac bermula daripada jam 9.00 pagi sehingga 4:30 petang.
Menurut Encik Faizul selaku staf PKU, kempen derma darah ini perlu dijadikan sebagai satu usaha yang berterusan dalam memupuk semangat kesedaran di kalangan orang ramai khususnya pelajar tentang betapa pentingnya kebaikan menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa seseorang.
Fokus utama kempen derma darah ini bukan sahaja kepada pelajar namun ianya terbuka kepada staf UUM serta orang luar yang boleh datang untuk menderma darah sekiranya ingin turut serta dalam kempen ini.
“Saya yakin bahawa sekiranya usaha ini terus dilakukan, ianya akan mendapat sambutan yang
baik daripada para pelajar sekaligus kita dapat membantu golongan yang memerlukan”. Itu merupakan kata-kata daripada Encik Hanif, Pegawai Perubatan daripada Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.
Tambahnya lagi masih ramai individu yang masih prihatin akan isu ini dan ianya merupakan satu penanda aras yang baik dalam membantu golongan yang memerlukan.
Usaha ini telah mendapat sambutan yang amat baik daripada para pelajar dan juga orang luar sekaligus membuktikan bahawa mereka mempunyai kesedaran yang tinggi berkenaan kebaikan menderma darah.
Keberhasilan program kempen derma darah ini dapat dilihat apabila pain darah yang dikumpul sepanjang dua hari itu melebihi sasaran pihak hospital dan akan diserahkan kepada Unit Pendermaan Darah HSB bertujuan untuk kes kecemasan yang memerlukan proses penerimaan darah dalam kadar yang segera. Perkara ini sudah pasti tidak dapat dilaksanakan sekiranya tidak ada kerjasama atau pun kesedaran daripada orang ramai yang membantu.
Encik Hanif juga berkata, syarat yang ditetapkan bagi seseorang untuk menderma darah adalah
mudah sahaja di mana seseorang itu perlulah berumur di antara 18-60 tahun bagi melayakkan dirinya sebagai penderma darah, berat badan yang melebihi 45kg dan haemoglobin berada pada tahap 12.5gm%. Syarat yang mudah ini seharusnya menarik lebih ramai orang lagi dan tidak ada alasan untuk tidak menderma darah walaupun ianya bergantung kepada niat seseorang itu sama ada ingin membantu atau tidak.
Namun, menderma darah ini bukan sahaja mampu menyelamatkan satu nyawa malahan satu pek darah yang diderma sebenarnya mampu membantu sebanyak 3 orang yang memerlukan. Kemudian, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Pusat Darah Negara (PDN) menderma darah juga merupakan satu aktiviti yang baik untuk diri kita di mana dapat membakar 650 kalori dalam satu sesi.
Risiko sakit jantung dapat dikurangkan serta risiko untuk mendapat penyakit lain seperti kanser hati, kolon dan tekak. Menderma darah ini sekaligus dapat memperbaharui sel-sel darah yang akan membantu badan penderma darah untuk kekal sihat.
Comments