BSN STAR, PENCARIAN PENYANYI TERBAIK - BSN FIESTA 2018
- IDENTITY 36
- May 7, 2018
- 2 min read
Updated: May 17, 2018

Oleh: Yogananthini a/p Rama
Emel: nanthini.rama@yahoo.com
SINTOK, 16 MAC - Inapan Siswa (Inasis) BSN di Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan program BSN STAR iaitu pertandingan nyanyian sempena BSN FIESTA 2018 yang telah berlangsung di pentas utama Inasis BSN pada jam 3.30 hingga 5 petang yang melibatkan 11 orang peserta.
Program ini telah dianjurkan oleh Biro Kebudayaan dan Kesenian Inasis BSN di bawah program Exco Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa (JKPS) Inasis BSN.
Pengarah program, Timbalan Exco Kebudayaan dan Kesenian Inasis BSN, Abigail, 20, berkata “tujuan utama program ini diadakan adalah sebagai uji bakat pelajar yang mempunyai minat dalam bidang nyanyian”.
Peserta program terdiri daripada agama, Inasis dan semester yang berlainan. Hal ini merupakan satu kelebihan bagi program ini dalam memaparkan kesepakatan 1 Malaysia bersama pemilihan lagu-lagu yang berlainan bahasa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Hindi.
Ramai pelajar dari Inasis BSN dan Inasis-Inasis lain telah datang menyaksikan program BSN STAR yang menyebabkan suasana BSN STAR menjadi meriah semasa perlangsungan program. Pengacara bagi program ini ialah saudari Aishah, 21, dari Inasis BSN.
Pertandingan ini telah diadili oleh dua orang juri yang terdiri daripada felo-felo Inasis BSN iaitu Encik Suhaimi dan Cik Rozita. Cik Rozita juga merupakan penasihat Biro Kebudayaan dan Kesenian Inasis BSN.
Sistem pemarkahan bagi pertandingan ini merangkumi mutu suara 40%, tempo dan nada 40%, gaya persembahan 10% dan penampilan diri sebanyak 10%. Syarat utama pertandingan ini ialah lagu yang dipilih tidak harus mempunyai unsur-unsur sensitif perkauman.
Menurut Encik Suhaimi, semua penyanyi telah menyanyi dengan baik sekali yang menyebabkan beliau sukar untuk memilih penyanyi yang terbaik dalam program tersebut. Peserta juga menggunakan kreativiti masing-masing semasa persembahan tanpa melanggar tatasusila yang telah ditetapkan.
Tiga orang peserta telah dipilih sebagai pemenang BSN STAR iaitu saudari Nur Khalida dari Inasis TM yang telah berjaya mendapat tempat pertama, saudari Che Nurathirah Bt Adenan dari Inasis BSN yang telah mendapat tempat kedua serta saudari Asma Basyirah Bt Abdul Mutalib dari Inasis Sime Darby yang telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan ini.
Yuran bagi program ini adalah sebanyak RM 5 sahaja dan hadiah-hadiah yang istimewa telah disediakan bagi para pemenang. Hadiah-hadiah bagi peserta telah diberikan oleh Tuan Haji Mohd Fairus Bin Abdul Majid, Pengetua Inasis BSN diiringini oleh saudari Aina Hannani Bt Zainal Abidin, Presiden JKPS Inasis BSN.
Program ini dikatakan mungkin akan diteruskan lagi pada Fiesta Inasis BSN yang seterusnya untuk mengekalkan imej serta kredibiliti BSN STAR pada masa akan datang oleh pengarah program.
Comments