UUM PRESS SEBUAH PLATFORM CUNGKIL BAKAT BAHARU
- IDENTITY 36
- May 7, 2018
- 3 min read
Updated: May 17, 2018

Oleh: Abilashini Mahendra Moorthi
Kebanyakan penulis buku terdiri daripada golongan yang berpengalaman menulis seperti pensyarah di institusi-institusi pengajian tinggi dengan gaya mereka yang tersendiri pada masa dahulu.
Namun, pada hari ini semua orang juga boleh menulis buku serta digalakkan untuk terbabit dalam bidang penulisan jika mereka mempunyai cerita-cerita yang menarik dan bermanfaat kepada para pembaca.
Aktiviti penyelidikan adalah penting tetapi tanpa menerbitkan penghasilan mereka, hasil kajian mereka menjadi tidak bermakna. Mereka tidak dapat memberi manfaat kepada sesiapa sahaja.
Dengan menghargai inisiatif penerbitan UUM Press sebenarnya menyokong budaya akademik. UUM Press merupakan platform kepada warga UUM untuk menunjukkan bakat mereka terhadap penulisan dan mereka harus menggunakan peluang ini.
Sebilangan besar di UUM mempunyai tanggapan bahawa hanya pensyarah-pensyarah sahaja boleh mengeluarkan buku-buku menerusi UUM Press. Kenyataan ini adalah tidak benar.
Sesiapa sahaja boleh menghasilkan buku dan menerbitkan melalui UUM Press. Pensyarah-pensyarah, pelajar-pelajar dan staf digalakkan menunjukkan minat mereka terhadap penulisan.
Namun, terdapat panduan penerbitan dan prosedur-prosedur tertentu untuk menyampaikan hasil mereka kepada para pembaca. Dasar dan peraturan UUM Press, jenis penerbitan, saluran penerbitan, penyediaan manuskrip dan rujukan yang sah perlu diambil kira dalam proses penerbitan ini.
Tanggungjawab besar para penulis ketika proses penghasilan bahan akademik adalah memastikan bahan itu bebas dari isu hak cipta dan plagiarisme. Peraturan-peraturan yang digariskan kepada penulis telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti untuk memudahkan proses penerbitan.
Dalam Majlis Penghargaan yang dianjurkan oleh UUM Press pada Mac 2018, Pengarah UUM Press, Dr. Ram Al Jaffri Saad berkata, acara itu diadakan untuk memberi penghormatan kepada kakitangan, pengarang dari UUM dan juga para penulis lain yang telah memberikan sokongan penuh dan kerjasama mereka kepada UUM Press. Pada tahun 2017, UUM Press menerbitkan sejumlah 43 manuskrip.
Penulisan dan penerbitan satu perkara yang sangat penting dan matlamat yang ditetapkan oleh universiti tidak dapat dicapai sekiranya penerbitan tidak dapat ditingkatkan.
JENIS PENERBITAN
Jenis penerbitan yang diterbitkan di bawah UUM Press adalah seperti buku akademik/ilmiah, buku umum, buku yang diedit, jurnal dan monograf.
Buku akademik akan melalui proses penilaian rasmi oleh pakar sama ada dari dalam atau luar UUM. Semua kelulusan penerbitan tertakluk kepada budi bicara Jawatankuasa Penerbitan berdasarkan penilaian keseluruhan kerja.
Jenis buku umum yang diterbitkan oleh UUM Press adalah seperti ‘coffee table books’, ucapan awam, buku panduan dan ‘light reading series’.
Tiga jenis buku yang diedit diterbitkan oleh UUM Press adalah kertas terpilih daripada persidangan yang telah dianjurkan, surat yang dijemput untuk bacaan buku bertema, seminar prosiding dan buku yang disunting serta diselaraskan oleh satu hingga tiga editor yang mengemukakan cadangan penerbitan melalui kolej.
UUM Press menerbitkan enam jurnal, iaitu Jurnal Pengurusan Malaysia (MMJ), Jurnal Antarabangsa Pengurusan Pengajian (IJMS), Jurnal Kajian Antarabangsa (JIS), Jurnal Antarabangsa Perbankan dan Kewangan (IJBF), Jurnal Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JICT) Jurnal Pembelajaran & Inovasi Malaysia (MJLI).
Tahap manuskrip tidak boleh kurang dari 90 halaman dengan saiz fon 12-titik dan jarak ganda. Penulis siri monograf tidak menerima royalti.
ANUGERAH DAN PENGIKTIRAFAN
Penerimaan anugerah akan mengharumkan nama serta meningkatkan imej sesuatu institusi korporat. UUM Press telah menerima sebanyak 14 anugerah dari tahun 2007 hingga 2017.
UUM Press menerima anugerah daripada MAPIM bagi kategori artikel terbaik pada tahun 2007. Anugerah ini diberikan kepada artikel yang bertajuk Pengurusan Perolehan: Peranan Kualiti Audit dan Urus Tadbir Korporat.
Pada tahun 2008, anugerah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) diberikan untuk buku terbaik kategori terjemahan. Anugerah buku negara diperoleh berturut-turut dari tahun 2014 hingga 2017.
E-BOOK UUM PRESS
“UUM Press juga menyediakan perkhidmatan pembelian buku secara ‘online’ dan boleh mengakses laman sesawang E-Book UUM Press untuk mendapakan buku-buku penerbitannya”, kata En. Adzanizam bin Mansor, Pengurus Kedai Buku UUM Press.
Pembeli boleh mendapatkan buku yang ingin membeli dalam E-book dan boleh membuat bayaran secara ‘online’. Buku-buku yang dipesan dan dijelaskan bayaran akan dipos ke alamat pembeli.
Selain daripada E-book, buku-buku penerbitan UUM Press boleh didapati di kedai buku UUM Press yang terletak di Varsity Mall ataupun di Pejabat UUM Press.
Selain itu, kata pengarah UUM Press, sudah tiba masanya UUM Press membuat perubahan dengan memberi fokus pada e-publishing yang telah menjadi trend yang digunakan pada zaman sekarang.
Comments