top of page

TERIMA KASIH PETUGAS PEMBERSIHAN

  • Writer: IDENTITY 36
    IDENTITY 36
  • May 7, 2018
  • 3 min read

ree

Oleh :Siti Maheerah Abdul Razak

Emel : maheerahabdrazak510@gmail.com

Barangkali segelintir daripada masyarakat tidak menyedari bahkan tidak merasa peduli dengan kebersihan sehingga kadangkala mengambil jalan mudah dengan membuang sampah sesukati hati mereka. Namun, sedarkah kita bahawa perbuatan tersebut akan menyusahkan lagi kerja petugas-petugas pembersihan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka demi mencari sesuap nasi untuk menyara kehidupan.


Begitulah yang dirasakan oleh petugas pembersihan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Puan Zuraini yang sudah 17 tahun bekerja sebagai petugas pembersihan di UUM. Beliau yang lahir di Changlun sudah bekerja sebagai petugas pembersihan bermula pada 10 April 2004 hinggalah sekarang. Wanita yang berusia 42 tahun ini sudah bekerja dalam sektor pembersihan di Inapan Siswa yang dahulunya dikenali sebagai Dewan Penginapan Pelajar (DPP). Antara inasis yang beliau telah menaburkan khidmatnya ialah Inasis Telekom Malaysia (TM), Tradewind dan sekarang ialah di Inasis Malaysia Airlines (MAS).


Sebelum ini beliau pernah bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak namun beliau tekad ingin mengubah hidup keluarga dan cuba untuk bekerja sebagai petugas pembersihan untuk mendapatkan pendapatan yang lebih. Beliau yang menetap di Simpang Empat, Perlis telah diperkenalkan oleh saudara-mara sendiri tentang kekosongan kerja yang ada di UUM dalam sektor pembersihan. Apabila ditanyakan tentang mengapa beliau begitu seronok bekerja dalam sektor pembersihan, beliau hanya tersenyum sambil berkata “Makcik seronok kerana dapat pengalaman baru berjumpa dengan pelajar dari seluruh negeri dan untuk bantu keluarga makcik”.


Di samping bekerja sebagai petugas pembersihan, beliau juga mengambil upah menjual buah-buahan kepada pelajar-pelajar yang tinggal di inasis. Sungguh beliau tidak pernah mengenal erti kepenatan, masih lagi bekerja walaupun sudah habis kerja pembersihan di inasis demi menyara keluarganya. Gaji suaminya yang hanya bekerja sebagai kontraktor tidaklah begitu cukup untuk menampung kehidupan seharian mereka 4 beranak.


Puan Zuraini hanya menumpang orang untuk pergi dan balik ke tempat kerja. Mujurlah masih ada lagi insan yang bertimbang rasa dan mengambil berat dengan beliau. Beliau bertolak ketempat kerja seawal jam 7 pagi dan balik pada jam 5 petang. Apabila diajukan soalan tentang pengalaman beliau sepanjang bekerja sebagai petugas pembersihan di UUM, mimik muka beliau sedikit berubah namun masih tetap sudi untuk berkongsi cerita dengan penulis untuk dijadikan tauladan dan pengajaran buat semua terutama sekali pelajar di universiti.


Berdasarkan pengalaman beliau sepanjang bekerja di sini, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi hingga kadangkala beliau merasa amat marah dengan tindakan para pelajar di setiap inasis tempat beliau bekerja. Masalah yang sering kali dihadapi oleh beliau ialah aduan yang dibuat oleh para pelajar mengenai beliau. Pn Zuraini sering kali dikatakan tidak membuat kerja seperti mencuci bilik air serta berbagai lagi tohmahan yang dilemparkan ke beliau. Namun beliau menafikan tuduhan tersebut kerana beliau menjalankan kerja mengikut prospek yang diberikan oleh pihak atasan.


“Makcik Zuraini sangat baik. Sepanjang saya tinggal di Blok A, dia sangat peramah dan sentiasa berbual-bual dengan pelajar-pelajar. Dia tak sombong. Selalu saya lihat dia cuci bilik air tanpa mengeluh pun dan masih lagi mampu berbual dan beramah mesra dengan pelajar yang menginap disini” kata salah seorang pelajar UUM semester keempat yang bernama Syafiqah Nadhirah bt Abdul Gani.


Seorang lagi pelajar UUM semester keempat yang hanya mahu dikenali sebagai Nur juga berkata “Saya kerap lihat Makcik Zuraini mencuci bilik air. Ini adalah disebabkan oleh sikap pelajar yang selalu mengotorkan bilik air sehingga beliau terpaksa membersihkan bilik air berkali-kali dalam sehari” katanya.


Mahasiswa, satu gelaran yang diberikan kepada pelajar-pelajar yang diterima masuk ke universiti kerana pencapaian prestasi yang baik dalam akademik, namun apabila bercerita tentang sikap terutama sekali dalam aspek kebersihan, ianya masih lagi pada paras yang memuaskan. Sampah sisa makanan dibuang dengan sesuka hati kedalam sinki tanpa membersihkannya kembali, lubang bilik mandi tersumbat. Itulah cabaran yang sering kali dihadapi oleh Puan Zuraini serta semua petugas pembersihan.


Disebabkan oleh sikap pelajar kita yang mengambil mudah perkara tersebut, petugas pembersihanlah yang perlu membersihkan kekotoran yang dilakukan oleh pelajar sendiri. Puan Zuraini juga meluahkan perasaan kurang senang beliau terhadap sikap sesetengah pelajar yang memelihara kucing sehingga menyebabkan kucing tersebut membuang najis di paras-paras blok. Ianya menyebabkan bau yang busuk di paras dan petugas pembersihan yang harus mencuci najis tersebut. Masih segar lagi di ingatan penulis kata-kata yang diberikan oleh Puan Zuraini iaitu “Makcik tak kacau orang, tapi orang kacau makcik” ujarnya dengan perasaan yang sedih.

Comments


© 2018 by IDENTITY 36. Proudly created with Wix.com

Unknown Track - Unknown Artist
00:0000:00

Thanks! Message sent.

bottom of page