top of page

TEMPAT BERGANTUNG 1274 PELAJAR, DISEBALIK PENGORBANAN KUSAIRI

  • Writer: IDENTITY 36
    IDENTITY 36
  • Apr 26, 2018
  • 3 min read

Updated: May 17, 2018


ree

By: Natasha Hani

natashahanizainolhisam@gmail.com

Penyelia kafe di Inapan Siswa Malaysia Airlines System (Inasis MAS) Universiti Utara Malaysia (UUM), sentiasa berkorban tidak kira dalam bentuk masa, perkhidmatan dan wang untuk 1274 pelajar di Inasis MAS.


Kusairi, atau lebih dikenali sebagai Agus, menceritakan tentang pengalaman dan perjalanan hidupnya setelah bekerja di negara ini sewaktu ditemubual kelmarin. Anak kelahiran Jawa, Indonesia ini membuat keputusan untuk bekerja di Malaysia kerana ingin mengikut jejak kakaknya.


“Saya mula mempunyai kemahuan bekerja di sini apabila melihat kakak saya yang telah 2 tahun awal daripada saya bekerja di Malaysia. Saya kemudian mula bekerja bersama kakak saya di tempat kerjanya. Kebetulan pula pada masa itu memang ada jawatan kosong,” kata Agus.


Faktor kewangan menjadi punca utama tarikan pemuda berusia 32 tahun itu untuk bekerja di Malaysia kerana mata wang Malaysia lebih besar berbanding di Indonesia. “Sebenarnya, banyak faktor yang mendorong saya untuk bekerja di sini. Namun, faktor utamanya sudah tentu kerana kewangan. Bukan bermaksud saya atau keluarga saya mempunyai masalah kewangan, tetapi, saya merasakan gaji di sini lebih lumayan berbanding di Indonesia,”


Menurutnya lagi, dia telah menghabiskan masa selama 12 tahun dalam bidang pekerjaannya sekarang dan hanya pulang ke negara asalnya setahun sekali sahaja. “Saya hanya pulang setahun sekali, iaitu pada waktu cuti Hari Raya Aidilfitri. Ada juga tahun di mana saya tidak dapat pulang kerana mempunyai kerja di tempat lain dan hanya dapat cuti yang singkat untuk Hari Raya Aidilfitri dan saya merasakan tidak berbaloi untuk pulang ke negara saya untuk waktu yang singkat. Jadi, saya tidak pulang,”


Ketika disoal tentang cabaran yang dihadapi oleh Agus, Agus menerangkan bahawa cabaran yang dihadapi bukan sahaja melibatkan dia namun seluruh organisasi. “Jika berkaitan cabaran, apabila saya menghadapi kesusahan, seluruh pekerja lain dalam organisasi ini turut merasakan kesusahan itu kerana kami bekerja di bawah satu bumbung,”


Cabaran yang dihadapi olehnya banyak berbentuk kritikan oleh pelanggannya. Pelanggan kafe ini terdiri daripada pelajar yang menetap di Inasis MAS sendiri, staf-staf Inasis MAS, pelajar dan pekerja UUM.


“Kritikan yang kami terima seperti persoalan mengapa harga makanan untuk makan sarapan dan tengah hari tidak sama walaupun menu yang diambil adalah sama dan menu makan tengah hari yang tidak tetap,”


“Mengenai tentang harga, kami tidak boleh meletakkan harga makanan sewenang-wenangnya.

Kami tentukan harga makanan mengikut saiz atau kuantiti makanan yang diambil bagi memastikan harga dan saiz juga kuantiti adalah seiring,”


“Kami mempunyai jadual menu mengikut hari dan minggu. Ada menu yang tidak dapat kami sediakan pada setiap hari seperti Asam Pedas Ikan Pari, Sambal Udang, Ikan Goreng Talapia dan lain-lain kerana modal yang disediakan untuk bahan-bahan perlu seimbang pada setiap hari. Menu-menu tersebut memerlukan modal yang besar kerana harganya yang mahal. Sebab itulah kami tidak dapat sediakan menu-menu tersebut pada setiap hari,” jelas Agus.


Menjawat jawatan sebagai penyelia satu di kafe tersebut bukanlah mudah. Agus perlu bangun pada pukul 5.30 pagi pada setiap hari dan habis bekerja pada pukul 11.00 malam. Operasi kafe bermula pada pukul 7.30 pagi yang menyediakan sarapan pagi seperti Mi Goreng, Nasi Goreng, Nuggets, Hotdogs dan kentang goreng. Proses memasak akan bermula pada pukul 6.30 pagi.


Demi kelancaran proses memasak pada waktu pagi, Agus perlu memastikan keadaan dapur sentiasa bersih sebelum dan selepas memasak. Keperluan makanan juga perlu disemak dari masa ke masa agar sentiasa mencukupi bagi menampung 1200 pelajar di Inasis MAS.


“Kami, pekerja semua harus bangun seawal 5.30 pagi dan menyiapkan diri. Kemudian tukang masak akan terus memasak, manakala yang lain akan menyusun meja,” Proses memasak perlu dimulakan awal demi menyediakan menu sarapan untuk pelajar sebelum ke kelas. “Pelajar sudah pasti mahu makan sarapan terlebih dahulu sebelum pergi ke kelas pada pukul 8.30 pagi untuk mengelakkan perut masuk angin dan demi kelancaran proses pembelajarannya,” kata Agus.


Walaupun waktu sebenar operasi Kafe Kesatria adalah pada waktu 7.30 pagi sehingga 11.00 malam, waktu tutup juga bergantung kepada pelanggan yang hadir pada ketika itu. Sekiranya pada pukul 11.00 malam masih ramai pelanggan, kafe tidak akan tutup lagi sehingga pelanggan surut. Jika di hujung minggu, ramai pelanggan sehingga lebih jam 11.00 malam. “Paling lewat kafe ini tutup pada pukul 12.00 malam” ujar Agus.


Penulis juga sempat menanyakan tentang perancangan masa depannya. Agus ada merancang untuk berhenti kerja dan pulang ke Jawa, Indonesia. “Saya bekerja di sini untuk mengumpul sejumlah duit. Jika saya sudah berjaya mendapatkan sejumlah duit itu, saya akan berhenti kerja dan pulang ke rumah,”


Bekerja di Malaysia bermula dengan kakaknya dan kemudian diikuti dengan Agus, dan kini beberapa saudaranya juga turut bekerja di kafe Inasis MAS atau nama sebenar kafe tersebut ialah Kafe Kesatria. Mempunyai ahli keluarga yang bekerja sama di sini membuatkan Agus dapat melupakan kesedihannya berjauhan dengan keluarga tercinta. “Mereka ada. Kami gembira kerja bersama-sama. Mereka faham saya, dan saya faham mereka,” jelas Agus.

Comments


© 2018 by IDENTITY 36. Proudly created with Wix.com

Unknown Track - Unknown Artist
00:0000:00

Thanks! Message sent.

bottom of page