top of page

PEMANDU SENJA, INSAN BERJASA

  • Writer: IDENTITY 36
    IDENTITY 36
  • May 6, 2018
  • 3 min read

ree

Oleh: SYAFIQAH NADHIRAH BINTI ABDUL GANI

Emel : syafiqahnadhirahag@gmail.com

Pernah dulu dia tular di laman N.E.WS.E.ED. Tularnya kerana jasa yang tidak terkira pada mahasiswa. Masih ingatkah pada dia, si pemandu senja?


Walaupun sudah mencecah usia 68 tahun, Hashim Bin Abdullah tidak menjadikan umur sebagai alasan untuk bermalas-malasan dirumah. Memilih kerjaya pemandu bas sebagai punca utama rezeki menurutnya adalah keputusan yang tepat. “Pak Cik sudah bekerja sebagai pemandu bas di UUM lebih 10 tahun, Pak Cik tidak pernah menyesal.” katanya.


Sebelum menjadi pemandu bas, Hashim Bin Abdullah atau lebih selesa dikenali sebagai Pak Cik Hashim bekerja sebagai pemandu trem gula disebuah syarikat bertempat di Seberang Perai. Disebabkan umurnya yang semakin meningkat, beliau tidak lagi mahu memandu trem yang memerlukannya memandu jarak jauh. Beliau tekad mengambil risiko meletakkan jawatan.


Sepanjang tempoh mencari pekerjaan baru, Pak Cik Hashim tidak boleh mengelak daripada berasa khuatir tentang keadaan kewangannya. Mujur dia bertemu dengan salah seorang rakan daripada Syarikat Pengangkutan Unic Leisure. Atas bantuan rakannya itu, dia diterima bekerja sebagai pemandu bas di UUM.


Setiap hari dia berulang alik daripada Perlis ke UUM untuk bekerja. Oleh kerana bas di dalam UUM mula beroperasi pada jam 7:30 pagi, dia akan mula bertolak dari rumah seawal 6:30 pagi. Begitulah rutin seharian Pak Cik Hashim.


Pernah dihalang daripada bekerja oleh keluarga, bapa kepada 5 orang anak ini percaya bekerja sebagai pemandu bas boleh membantunya untuk kekal sihat. Baginya, pada usianya yang hampir 70 tahun, dia perlu banyak bergerak untuk kekal aktif.


“Nak sihat ini, selain perlu kawal pemakanan dan beraktiviti, Pak Cik percaya yang hati kita juga perlu dijaga. Kalau hati bersih, Insyaa Allah kita diberi kesihatan” kata Pak Cik Hashim.


Pak Cik Hashim sangat disenangi oleh mahasiswa. Setiap hari dia sabar menunggu pelajar yang berlari-lari mengejar bas biarpun, segelintir pemandu lain rigid dan memilih untuk terus beredar. Menurutnya, “Pakcik hanya berpegang satu perkara sahaja semasa Pak Cik bekerja. Apabila kita permudahkan urusan orang lain, Allah akan permudahkan urusan kita”


“Pak Cik Hashim sangat baik. jika dia lihat ada pelajar berlari-lari dari jauh untuk naik bas, Pak Cik Hashim sanggup tunggu. Walaupun bas sudah bergerak, jika dia nampak pelajar minta tolong agar dia buka pintu bas, dia sanggup berhentikan bas semula” kata salah seorang pelajar UUM semester keempat bernama Nur Fatin binti Rahim.


Seorang lagi pelajar tahun akhir UUM bernama Azreen Nadia binti Azman berkata “Semenjak saya tahun pertama di UUM lagi, senior-senior lain sudah bercerita tentang kebaikan Pak Cik Hashim. Berbanding dengan pemandu-pemandu lain, dialah yang paling tak sampai hati kalau nampak pelajar minta tolong. Kalau Pak Cik Hashim tidak bekerja lagi, mesti majoriti pelajar UUM yang menaiki bas akan rasa kehilangan”.


Kebanyakan hari, Pak Cik Hashim akan dilihat memandu bas untuk laluan Maybank. Dia berkongsi pengalaman rakan sekerjanya yang pernah dimaki oleh pelajar yang menetap disana. Namun, Pak Cik Hashim bersyukur tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang ditugaskan dilaluan tersebut.


Dalam bekerja, prinsip yang dipegang oleh Pak Cik Hashim adalah menepati waktu, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Disebabkan prinsip yang dipegangnya, pihak Syarikat Pengangkutan Unic Leisure senang untuk memanjangkan kontrak pekerjaan Pak Cik Hashim. Tambahan pula, tiada sebarang aduan atau rekod tidak baik melibatkan dirinya sepanjang tempoh bekerja.


Selain itu sebagai pemandu bas, yang paling penting baginya adalah tidak melanggar peraturan.

Berdasarkan pemerhatian Pak Cik Hashim, ada segelintir pemandu bas yang merokok di dalam bas sehingga mengakibatkan ketidakselesaan kepada penumpang terutama daripada segi bau. Mujur beliau bukan perokok jadi, tidak pernah sesekali beliau merokok di dalam kawasan universiti.


Menurut Encik Syazwan bin Ahmad “Pak Hashim memang sangat patuh dengan peraturan sebagai pemandu bas. Selain daripada itu, dia benar-benar menjaga kebajikan penumpang terutama daripada segi kebersihan bas dan keselamatan”. Kebanyakan pemandu bas Unic Leisure di UUM menjadikan Pak Cik Hashim sebagai contoh.


Pak Cik Hashim merupakan pemandu bas paling berusia. Sungguhpun begitu, kualiti kerjanya setanding dengan pemandu bas yang lebih muda.


Pada tahun 2017, Syarikat Pengangkutan Unic Leisure telah menganugerahi Pak Cik Hashim ‘Anugerah Pekerja Terbaik’ disebabkan prestasi kerjanya yang cemerlang. Atas sebab itu juga, pihak Unic Leisure sanggup memberikan kelonggaran terutama dari segi had umur pekerja kepada Pak Cik Hashim.


“Semasa Pak Cik terima anugerah tersebut, Pak Cik bertambah yakin dengan apa yang Pak Cik buat. Mungkin juga berkat daripada bantu pelajar-pelajar semua, Pak Cik dapat merasa menjadi pekerja terbaik” kata Pak Cik Hashim.


Kebanyakan kisah yang didengar tentang Pak Cik Hashim adalah positif. Walaupun begitu, sepanjang temubual beliau tetap merendah diri. Baginya, sudah tanggungjawab sebagai manusia untuk sentiasa berusaha kearah kebaikan.

Comments


© 2018 by IDENTITY 36. Proudly created with Wix.com

Unknown Track - Unknown Artist
00:0000:00

Thanks! Message sent.

bottom of page