top of page

PEMANDU AMBULANS SETARAF DOKTOR

  • Writer: IDENTITY 36
    IDENTITY 36
  • May 7, 2018
  • 3 min read

Updated: May 17, 2018


ree

Oleh: Nur Shafiqah binti Rozizan E-mail: shafiqah96rozizan@gmail.com


Seperti universiti-universiti awam yang lain, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok juga mempunyai pusat kesihatannya yang tersendiri. Pusat Kesihatan Universiti atau lebih dikenali sebagai PKU menyediakan kemudahan rawatan kesihatan dalam kalangan warga UUM. Selain menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan, PKU juga turut menyediakan perkhidmatan pemandu ambulans UUM kepada pesakit.


Ambulans UUM mempunyai keunikannya yang tersendiri di mana pihak PKU bukan sahaja menyediakan perkhidmatan ambulans ini kepada warga UUM sahaja malah mereka juga sedia berkhidmat kepada warga Changlun, Kedah. Abdul Rani Bin Mohd Jusoh, merupakan salah seorang kakitangan ambulans UUM telah berkongsi pengalaman pahit manisnya sepanjang 10 tahun beliau berkhidmat bersama PKU.


Bermula pada tahun 2008, beliau mula menapak kerjayanya sebagai pemandu ambulans UUM yang memerlukan komitmen penuh dari beliau sendiri. Berkhidmat seawal jam 8 pagi sehingga 5 petang mungkin dilihat sebagai perkara biasa untuk seorang pemandu ambulans UUM namun sebenarnya khidmatnya tidak berhenti disitu sahaja bahkan tugasan yang lebih besar perlu beliau hadapi selepas itu.


Menurut Abdul Rani, pemandu ambulans UUM juga berkhidmat seperti pembantu perubatan di mana mereka juga mempunyai tugasan kecemasan (on call) pada waktu malam. “Kami perlu bersedia dari jam 8 malam sehingga 7 pagi dan kami juga perlu bersedia untuk menerima sebarang panggilan dari MA atau penduduk sekitar kawasan changlun sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” kata Abdul Rani. Hal ini bermakna beliau perlu berkhidmat lebih dari 12 jam dalam masa sehari dan beliau perlu bersiap sedia untuk menerima panggilan kecemasan walaupun ketika bersama keluarga.


Tanggungjawab yang digalas merupakan suatu tugasan yang berat tetapi beliau dapat menempuhi setiap cabaran itu demi tanggungjawabnya sebagai seorang penyelamat. Pada pendapat beliau, disiplin dan sikap belas ihsan sudah disemat dalam jiwa beliau dalam menjalankan tugasnya. Justeru itu,beliau tidak pernah kisah sama ada mangsa kemalangan itu adalah warga UUM ataupun tidak.


Antara tragedi yang tidak dapat dilupakan oleh beliau adalah beliau perlu melalui detik-detik menyelamat satu kes kemalangan jalan raya yang berhampiran dengan Hotel EDC UUM. Kemalangan itu melibatkan pelanggaran antara dua buah kereta yang dipandu oleh staf dan pelajar UUM berlaku sekitar jam 7 pagi pada tahun 2010. Kemalangan di awal pagi itu memerlukan komitmen yang tinggi oleh beliau kerana pada masa itu tempoh tugasannya pada hari itu hampir tamat dan beliaulah merupakan satu-satunya petugas yang boleh menyelamatkan magsa tersebut.


“Kemalangan tersebut menyebabkan kereta kancil yang dipandu oleh pelajar UUM yang berbangsa Cina itu terbalik dan trajedi itu telah meragut nyawa dua orang pelajar tersebut. Keadaan mereka yang berlumuran darah itu merupakan antara cabaran yang perlu saya hadapi ketika itu,” kata pemandu ambulans UUM itu lagi.


Menurut Abdul Rani, keadaan pesakit yang ‘nyawa-nyawa ikan’ atau sering dikatakan sebagai ‘50/50’ masih dikategorikan sebagai dalam kes kecemasan seperti tenat. Apabila berhadapan dengan situasi ini mereka akan terus bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya. Menurut Abdul Rani, jika berlaku sebarang kematian beliau akan terus menghubungi unit keselamatan lain dalam UUM untuk menghantarkan mayat menaiki van jenazah. Ini bermakna tugasan ini akan berpindah kepada unit lain sekirannya berlaku sebarang kematian di tempat kejadian.


Tugasan ini bukanlah dipikul oleh Abdul Rani sahaja, namun tugasan tersebut turut digalas oleh dua orang lagi rakan sekerjanya. Mereka akan bekerja mengikut giliran yang telah ditetapkan oleh pihak atasan PKU dan menurut beliau lagi, mereka perlu bersedia sebanyak 9 hingga 10 kali dalam masa sebulan untuk tugasan kecemasan.


“Sudah menjadi kebiasaan bagi kami bekerja pada lewat malam sehingga mencecah jam dua atau tiga pagi dan pekerjaan ini sememangnya memerlukan kekuatan mental dan fizikal dalam menggalas tanggungjawab dibahu,” kata beliau lagi. Suatu pengorbanan yang perlu mereka lakukan di mana mereka perlu bekerja lebih masa dan bertugas disaat kebanyakkan orang lain nyenyak dibuai mimpi.


Menurut pemandu ambulans yang berusia 41 tahun itu, pihak PKU tidak ketinggalan dalam menjaga kebajikan mereka. Mereka turut diberi rawatan secara percuma jika mereka sakit dan bukan itu sahaja, tidak menjadi satu beban apabila ahli keluarga mereka juga turut mendapat manfaat rawatan secara percuma. Banyak klinik panel disediakan untuk para staf UUM di sekitar kawasan changlun seperti klinik Azhar. Selain itu, mereka juga turut dilindungi insuran keselamatan.


Menurut Nor Syahidah Binti Abdul Rahim iaitu salah seorang pelajar UUM, berpendapat bahawa pekerjaan ini bukanlah suatu pekerjaan yang mudah dilakukan seperti yang disangka oleh orang ramai, tetapi pekerjaan ini memerlukan pengorbaan yang besar. “Mereka perlu berjaga malam dan sentiasa bersedia untuk menerima sebarang panggilan kecemasan pada lewat malam. Mereka juga perlu berhadapan dengan pelbagai jenis tragedi ngeri dan situasi yang mencemaskan. Hal ini bukanlah suatu perkara yang mudah dilakukan oleh setiap orang,” kata Nor Syahidah.


Rentetan itu, tidak dapat disangkal lagi bekerja di unit kecemasan memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi. Pekerjaan sebagai pemandu ambulans tidak boleh dipandang lekeh oleh masyarakat kerana tanggungjawab mereka bukanlah semudah yang disangka. Benarlah pekerjaan ini seolah-olah sudah mempunyai taraf kepentingan yang hampir sama dengan tugas seorang doktor dalam menyelamatkan pesakit atau mangsa kemalangan.

Comments


© 2018 by IDENTITY 36. Proudly created with Wix.com

Unknown Track - Unknown Artist
00:0000:00

Thanks! Message sent.

bottom of page