top of page

LUHUR HATI SEORANG INSAN TERHADAP HAIWAN

  • Writer: IDENTITY 36
    IDENTITY 36
  • Apr 26, 2018
  • 3 min read

Updated: May 17, 2018


ree

By: Aiman Ezzaty Asri

aimanezzaty@gmail.com

Aktiviti merawat kucing terbiar disekitar kawasan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mendorong sekumpulan pelajar UUM mewujudkan sebuah Kelab Mahasiswa UUM Pencinta Kucing secara tidak rasmi pada 2010 bagi pelajar-pelajar yang sanggup menjadi sukarelawan untuk memberi makan, merawat dan melindungi kucing-kucing seiring dengan misi kelab tersebut.


Graduan Ijazah Sarjana muda Kaunseling, Mohd Noor Azhreen bin Shaari merupakan mantan pengerusi kelab Mahasiswa UUM Pencinta Kucing berkata, “Sebahagian ahli kelab ini termasuk saya sendiri bergiat aktif dimana kami turun ke kampus, dewan kuliah gugusan (DKG), kafe untuk memberi makanan, rawatan dan ubatan asas seperti sakit mata, demam, cirit birit, luka sehingga penyakit yang besar seperti Sporo, patah, luka berulat, ulser, dan lain-lain kepada kucing-kucing yang tidak bernasib baik.”


Azhreen, salah seorang The Unsung Heroes UUM yang bergiat aktif dalam kelab ini sejak awal lagi telah menjadi sebahagian dari ahli kelab tersebut sehingga berada di tahun akhir pengajian. Meskipun sudah tamat pengajian di UUM, beliau masih memberi maklum balas terhadap individu yang meminta pertolongan untuk membuat sebarang tindakan terhadap kucing-kucing yang kurang bernasib baik di halaman N.E.W.S.E.E.D di Facebook yang terdiri daripada pelajar-pelajar UUM sahaja.


Sepanjang beliau menjadi ahli kelab pencinta kucing UUM, pelbagai aktiviti yang telah beliau sertai seperti meminta dana melalui private message kepada pelajar-pelajar UUM, serta melalui laman N.E.W.S.E.E.D, menghantar kucing yang sakit ke klinik veterinar dan sebagainya. Hasil khidmat nasihat daripada pelajar senior dan penasihat kelab iaitu Cik Rusnisuri, Kelab Pencinta Kucing UUM telah melaksanakan kempen membekalkan makanan kucing pada cuti semester yang juga dibantu oleh pekerja Uniutama Property Sdn. Bhd (UPSB).


Menurut Azhreen juga, “Pada tahun 2013 usaha kami mendapat sokongan daripada beberapa pihak termasuklah Tuan Zahril Anwan bin Malek, Pengetua Inapan Siswa SME Bank. Kami juga mendapat kelulusan dari Timbalan Naib Censelor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Dr. Malek untuk mengadakan kutipan bagi mendapatkan sumbangan di dalam kampus untuk program bekalan makanan kucing.”


Meskipun sumbangan telah dikutip serta banyak wang yang telah dilaburkan untuk merawat kucing-kucing yang kurang bernasib baik, namun beliau dan ahli kelab yang lain masih menghadapi kesukaran untuk membuat sebarang pembayaran selepas rawatan kucing diselesaikan. Hal ini kerana, dana masih belum mencukupi bagi menampung kos rawatan kucing yang mahal.


Aduan sering diterima dari pelajar-pelajar yang mengambil berat tentang kondisi kucing-kucing terbiar. Disebabkan beliau berkecimpung dalam kelab ini sejak 2012 hingga 2016, beliau dan rakan-rakannya yang lain sering menjadi rujukan untuk sebarang kes yang melibatkan bukan sahaja kucing malah haiwan jalanan yang lain seperti kera dan anjing.


Haiwan-haiwan yang telah dirawat kemudiannya akan dilepaskan dan sebahagiannya akan disuntik ubat mandul selepas melahirkan untuk mengawal populasi kucing yang terbiar. Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak mengancam populasi kucing-kucing yang ada.


Minat pada kucing mendorong Azhreen untuk bergiat aktif dalam melakukan kerja amal bagi menyelamat dan merawat kucing-kucing disekitar UUM. Menurutnya lagi. “Berada di universiti pengurusan terkemuka adalah untuk mempelajari ilmu dan menggapai cita-cita, tetapi itu tidak bermaksud untuk tidak menjadi seorang manusia yang mempunyai sifat berperikemanusiaan terhadap haiwan.”


Menurut Azila Zawani bin Azemi iaitu salah seorang ahli Kelab Mahasiswa UUM Pencinta Kucing, beliau sering melihat kesungguhan Azhreen untuk membantu merawat kucing atau haiwan terbiar yang dalam kesakitan. Berikut kerana Azhreen sering membalas komen-komen di halaman Facebook Kelab Mahasiswa UUM Pencinta Kucing berkenaan aduan dari pelajar-pelajar mengenai kucing-kucing terbiar yang tercedera disamping membuat inisiatif untuk mengumpul dana bagi rawatan kucing-kucing tersebut.


Pensyarah Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka ini juga menggalakkan pelajar terutamanya pelajar UUM untuk meneruskan perjuangan beliau bersama ahli-ahli Kelab Pencinta Kucing UUM bagi menyedarkan mereka akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai seorang manusia. Beliau turut percaya bahawa segala penat lelah akan digantikan dengan perkara yang lebih baik.

Comments


© 2018 by IDENTITY 36. Proudly created with Wix.com

Unknown Track - Unknown Artist
00:0000:00

Thanks! Message sent.

bottom of page