KERINGAT EMAS UPSB MENABUR BAKTI
- IDENTITY 36
- May 6, 2018
- 3 min read
Updated: May 17, 2018

By: Nur Afifah Binti Azmi
Emel: iefaazmi96@gmail.com
Seringkali kita mendengar cemuhan negatif orang ramai yang dilemparkan kepada para petugas kebersihan yang tarafnya dianggap rendah di mata sebilangan masyarakat. Namun begitu, adakah kita menyedari betapa besarnya sumbangan mereka dalam memberi keselesaan yang dikongsi bersama oleh semua golongan masyrakat? Inilah yang dilakukan oleh seorang petugas kebersihan dalam memastikan pelajar mendapat persekitaran yang selesa dan bersih.
Puan Nasriah Binti Isa merupakan salah seorang kakitangan Uniutama Property Sdn Bhd (UPSB) yang berkhidmat di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah. Beliau dipertanggungjawabkan untuk mengendali kerja pembersihan di kawasan Inapan Siswa Malaysia Airlines (MAS). Puan Nasriah yang lebih mesra disapa sebagai Mak Cik Nasriah sudah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Suami beliau bekerja sendiri sebagai buruh di mana hanya akan bekerja sekiranya dipanggil untuk membawa muatan berat. Tiga orang daripada empat orang anak Mak Cik Nasriah telah menceburkan diri dalam bidang pekerjaan manakala anak bongsunya masih bersekolah di Tingkatan Satu. Dua orang anak beliau masih tinggal bersamanya iaitu anaknya yang bongsu dan kedua daripada empat adik beradik manakala selebihnya bekerja di Penang dan Melaka serta menetap di sana.
Secara umumnya, beliau telah berkhidmat dalam bahagian pembersihan selama lima tahun iaitu tiga tahun di Kolej Matrikulasi Kedah dan dua tahun di UUM. Sebelum ini, Mak Cik Nasriah yang merupakan suri rumah sepenuh masa memilih untuk bekerja dalam bahagian pembersihan ini atas tujuan membantu suaminya sekaligus menambah pendapatan mereka sekeluarga. Keadaan yang menyebabkan beliau bekerja bawah UPSB di UUM adalah pertukaran tender syarikat yang sebelumnya dipegang oleh syarikat lain diserahkan kepada UPSB.
Puan Nasriah berasa beruntung kerana dirinya mahir membawa motosikal dan secara tidak langsung lebih memudahkan beliau untuk datang dan pulang dari tempat kerjanya sendiri tanpa menyusahkan suaminya walaupun pihak UPSB turut menyediakan pengangkutan iaitu bas kepada petugas UPSB untuk datang serta pulang. Beliau memulakan perjalanan pada pukul 7.30 pagi setiap hari untuk sampai ke tempat kerjanya langsung memulakan rutin pekerjaan sebagai UPSB di UUM.
Mak Cik Nasriah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan bahagian pembersihan di Blok D Inasis Mas untuk ketiga-tiga aras blok. Beliau memulakan rutin pekerjaannya pada pukul 7.45 pagi dengan mengemas dan membuang sampah. Tong sampah hanya disediakan di bahagian aras bawah untuk setiap blok dan plastik sampah perlu ditukar setiap hari.
Menurutnya, kerap kali beliau harus mengemas sampah yang telah diselerakkan akibat gangguan monyet berkali-kali. Setelah menguruskan sampah yang perlu dibuang di tempat pembuangan, beliau berhenti berehat seketika sebelum menyambung tugas seterusnya dengan membersihkan bilik air untuk setiap aras di blok D tersebut.
Pembersihan bilik air dilakukan berperingkat dalam kekerapan seminggu dua kali di mana setiap aras mempunyai dua bahagian bilik air. Selepas selesai pembersihan bahagian bilik air, Mak Cik Nasriah akan berhenti makan tengah hari dan solat Zohor. Pada sesi petang beliau akan sambung pekerjaannya dengan mengemaskan bahagian sekitar blok sebelum pulang pada pukul 4.30 petang.
Beliau turut menceritakan serba sedikit masalah atau cabaran yang dihadapi oleh beliau dalam mengendalikan tugas sebagai pekhidmat pembersihan. Antara masalah yang dihadapi sebetulnya berpunca daripada pelajar sendiri yang tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan di mana pelajar seringkali membuang sisa makanan ke dalam sinki sehingga menyebabkan sinki tersumbat.
Keadaan ini menyukarkan kerana beliau menjalankan pembersihan di bilik mandi secara berkala dan jika keadaan ini berlaku menyebabkan bilik air tersebut harus dicuci berulang kali. Namun, masalah ini turut dianggap sebagai tanggungjawabnya sebagai petugas UPSB serta boleh diatasi. Mak Cik Nasriah percaya bahawa “Jika kita tolong orang, Tuhan akan memudahkan segalanya dan inilah yang mak cik rasa kalau mak cik ditimpa masalah sebegini”, manurut Mak Cik Nasriah.
Selain daripada itu, beliau tidak mempunyai sebarang masalah atau kesulitan dalam mengendalikan tugasnya dan berasa senang dapat berkhidmat di UUM meskipun hanya sebagai petugas UPSB. Selama bekerja di UUM, beliau berasa bersyukur kerana tidak pernah menerima sebarang aduan dan laporan mengenai pekerjaannya. Hal ini demikian kerana, pekerja yang mendapat aduan akan berada di bawah kawalan pihak atasan UPSB dan sekiranya keadaan itu berterusan akan menyebabkan petugas UPSB dibuang kerja.
Pemantauan oleh pegawai atasan UPSB turut dilakukan seminggu sekali untuk melihat prestasi pekerja dalam menjalankan tugas pembersihan dan kadang kala pihak Inasis MAS sendiri akan menyertai operasi pemantauan tersebut. Berikutan dengan musim luruh pada waktu ini, pekerja UPSB harus sama-sama turun padang untuk menjalankan gotong- royong membersihkan dedaun kering yang luruh di mana sebelumnya tugas ini dipegang oleh syarikat pembersihan lain.
Menurutnya, “Mak cik seronok bekerja sebagai petugas UPSB di UUM ini kerana mak cik cepat rasa bosan kalau tak buat sebarang kerja. Ini juga adalah alasan mak cik menerima kerja sebagai petugas pembersihan di mana ramai yang berpendapat bekerja sebegini adalah susah dan memenatkan sehinggalah mak cik merasa sendiri dan ternyata tidak seperti yang dibayangkan oleh orang luar.” Oleh itu, masyarakat tidak seharusnya memandang serong terhadap pekerjaan sebagai petugas pembersihan kerana khidmat mereka sesungguhnya sangat besar sehingga mampu memberi keselesaan kepada orang lain.
Comments