top of page

BUKAN HANYA SEKADAR PENDIDIK

  • Writer: IDENTITY 36
    IDENTITY 36
  • May 6, 2018
  • 4 min read

Updated: May 17, 2018


ree

By: Nur Haniza bt Mahamad Yusof

Emel : hannyzayusof96@gmail.com


“Jika bukan kita yang membantu, siapa lagi” ujar Sharina Samsudin yang merupakan salah seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian yang terletak di Universiti Utara Malaysia, Sintok Kedah yang bukan sahaja mencurahkan bakti ilmu kepada mahasiswa namun, beliau juga aktif dalam melakukan kerja-kerja amal dalam mengisi masa lapangnya. Menurutnya, dia sudah lama melakukan kerja-kerja kebajikan semenjak di bangku sekolah lagi.


Malahan, daripada kecil, amalan membantu orang yang lebih susah daripadanya telah diterapkan dalam dirinya. Itu merupakan pendorong utama dalam dirinya untuk terus melakukan kerja-kerja amal dalam membantu golongan yang memerlukan. Benarlah bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebung’, Sharina bertekad untuk terus melakukan kerja amal kerana hasil didikan ibu bapanya yang setiap kali sahaja habis waktu sekolah, ibu bapanya yang bertugas sebagai guru akan membawa pulang para pelajar yang kurang bernasib baik.


“Saya sering menghabiskan masa bersama kanak-kanak yang dibawa pulang oleh kedua orang tua saya setiap kali mereka habis waktu persekolahan, mereka ini di antara golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan”. Begitulah penerapan yang diberikan oleh kedua ibu bapanya dalam membentuk dirinya.


Kelompok yang difokuskan adalah kanak-kanak yang merupakan anak yatim, orang-orang tua serta gelandangan. Sharina juga bergiat aktif di Kedah dan juga Johor Bahru. Anak kelahiran Johor Bahru ini yang terdiri daripada empat orang adik-beradik dibesarkan di dalam suasana yang sederhana namun mempunyai jiwa yang besar dalam membantu orang yang memerlukan.


Beliau bergerak aktif di rumah-rumah anak yatim, misalnya di Alor Setar iaitu di bawah organisasi YaPEIM di mana ianya merupakan sebuah organisasi rasmi dalam melakukan kerja-kerja kebajikan. Di samping itu, beliau juga aktif apabila pulang ke Johor Bahru di mana beliau melibatkan diri dalam aktiviti memberi makanan kepada gelandangan bersama organisasi yang tidak berdaftar iaitu “Sahabat Malam”.


Sharina bukan sahaja membantu kanak-kanak, orang tua dan juga gelandangan, namun kadang-kala beliau juga membantu remaja yang berada di pusat pemulihan akhlak daripada segi bantuan sokongan moral dan sebagainya. Itu merupakan satu usaha murni yang seharusnya dicontohi oleh orang lain. Lazimnya, remaja yang terlibat dengan masalah sosial akan disisihkan oleh masyarakat. Namun, berbeza dengan Sharina, dia melihat daripada perspektif yang berbeza dan berniat untuk terus membantu remaja yang mempunyai masalah sosial ini.


Tambahnya, remaja yang bermasalah ini akan mengambil jalan mudah untuk melarikan diri daripada masalah kerana takut dengan keluarga. Malahan, tindakan yang dilakukan oleh keluarga kepada anak-anak mereka yang terlibat dalam kancah permasalahan sosial ini tidak menyelesaikan masalah sekaligus mendorong mereka untuk melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.


Cabaran dari segi masa dan jarak adalah perkara yang perlu dihadapi oleh Sharina. Hal ini demikian kerana, dalam melakukan kerja-kerja kebajikan sebenarnya memerlukan komitmen yang tinggi dan masa yang panjang. Tetapi, apa yang menguatkan dirinya untuk terus melakukan kerja-kerja amal ini adalah kerana ujarnya, sekiranya golongan yang memerlukan ini tidak dibantu, mereka akhirnya akan menjadi masalah kepada negara.


Bukan sahaja dari segi masa dan jarak yang jauh, yang menyukarkannya lagi adalah apabila beliau terlibat dalam aktiviti memberi makan kepada gelandangan, kebiasaannya golongan ini akan melarikan diri kerana takut ditangkap oleh pihak berkuasa. Niatnya hanya ingin membantu tetapi sering disalahertikan.


Memang tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) ada melakukan pelbagai usaha dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik ini, namun bukankah lebih baik sekiranya masyarakat juga turut ikut serta bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.


Penulis merasakan bahawa masyarakat seharusnya membantu golongan ini dan bukannya menyalahkan mereka atas kesalahan atau kekurangan yang dihadapi oleh mereka. Negara memerlukan lebih ramai lagi individu yang prihatin akan isu ini dan amalan bantu-membantu ini harus diterapkan dalam diri semua orang sejak dari awal lagi.


Usaha murni sebegini yang akan menyatukan kita dan mewujudkan masyarakat yang harmoni.

Yang membuatkan penulis lebih tertarik mengenai kisah Sharina yang membantu masyarakat yang memerlukan ini adalah dia bukan sahaja membantu daripada segi kebajikan, malahan dia juga merupakan seorang penulis buku. Mendapat pendidikan di Universiti Sains Malaysia dalam bidang kewartawanan, kemudian melanjutkan lagi pengajiannya di peringkat Master dalam bidang Periklanan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan kini masih gigih menuntut ilmu dalam peringkat PhD di UUM dalam bidang Komunikasi.


Antara buku yang diterbitkannya adalah Aplikasi Teori-Teori Pembujukan Dalam Komunikasi Kepimpinan (2007), Pembujukan Untuk Kepimpinan Pengurusan Kualiti (2007) dan Komunikasi Efektif dalam Pengurusan Kualiti Menyeluruh dalam Keselamatan Insan Nasional Serantau : Aspirasi dan Realiti yang diterbitkan pada 2009. Malahan, dia juga menulis artikel dalam prosiding. Minat yang mendalam dalam bidang penulisan telah mendorongnya untuk menjadi seorang penulis dalam bidang komunikasi dan perkara ini merupakan suatu penanda aras yang baik kerana pada masa kini agak sukar untuk mencari penulisan ilmiah dalam jurusan Komunikasi.


Sharina mendapat banyak pengiktirafan sepanjang beliau berada dalam bidang kariernya sebagai pensyarah di UUM. Antaranya adalah Excellent Service Award UUM yang dirangkul pada tahun 2004. Kemudian, diikuti oleh Best Paper Award dalam tahun yang sama dan memenangi Anugerah Penasihat Terbaik dalam persatuan pelajar. Ini jelas membuktikan bahawa Sharina merupakan seorang yang mudah didekati dan tidak pernah lokek senyuman di bibirnya. Sifatnya yang prihatin membuatkan dirinya dikenali oleh ramai pelajar di UUM walaupun berbeza jurusan program pengajian.


Apa yang dilakukan Sharina merupakan satu sumbangan yang besar dalam masyarakat. Tidak ramai yang mampu melakukan seperti apa yang dilakukan oleh dirinya. Dia senang dengan apa yang dilakukannya dan menganggap bahawa apa yang dilakukannya dapat memberikan kepuasan kepada dirinya apabila beliau dapat membantu orang lain yang memerlukan.


Perkara sebegini perlu diteladani dan dijadikan sebagai satu amalan. Perbuatan yang mulia ini seharusnya diterapkan dalam diri anak-anak terutamanya semasa mereka masih kecil lagi supaya mereka dapat berkhidmat untuk masyarakat di kemudian hari.

Setiap perbuatan baik yang dilakukan pasti akan ada balasan baik yang menanti di masa hadapan.

Comments


© 2018 by IDENTITY 36. Proudly created with Wix.com

Unknown Track - Unknown Artist
00:0000:00

Thanks! Message sent.

bottom of page