ANJUNG TAMU UUM DIANGGAP IKON DUNIA
- IDENTITY 36
- May 6, 2018
- 4 min read
Updated: May 17, 2018

Oleh: NORSHAFIQAH BINTI MURAD
Emel: pykahmurad@gmail.com
Tuan rumah menganggap kehadiran tetamu ke rumahnya umpama membawa masuk rezeki dan tuah. Tetamu yang hadir pula akan dijemput masuk dan dijemput untuk duduk di tempat yang layak seperti anjung rumah atau ruang tamu. Oleh itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil langkah berani untuk membina anjung tamu dengan reka bentuk yang tersendiri dan unik serta merupakan salah-satunya Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama yang mempunyai Anjung Tamu di Malaysia.
Anjung Tamu UUM yang telah menjadi ikon kepada tetamu sejak bangunan ini dirasmikan pada 15 Jun 2014 agar UUM dapat lebih dikenali sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka. Pembinaan Anjung Tamu ini asalnya hasil cetusan idea daripada Naib Canselor UUM iaitu Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak bersama-sama dengan Pengurus Anjung Tamu, Hjh. Rasidah Bt. Hj. Rodzi.
Pembinaan Anjung Tamu atau ‘Welcome Center’ yang tersergam indah yang terletak bersebelahan pintu masuk UUM dijadikan sebagai platform dalam mempromosikan sektor pelancongan domestik dan antarabangsa untuk negara. Tempat itu juga dijadikan sebagai pusat maklumat dan menjadi tumpuan untuk mendapatkan info-info umum mengenai UUM. Kaedah ini dapat menggamit pengunjung ke UUM terutamnya daripada kanak-kanak tadika, pelajar-pelajar sekolah, IPTA, pendidikan khas, pengembara, selebriti, menteri-menteri, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan duta-duta besar dari luar negara. Hampir empat tahun Anjung Tamu ini ditubuhkan telah meningkatkan statistik tetamu kerana menerima kehadiran tetamu seramai 2 juta orang. Pada tahun 2016 pula, pelancong dari Jepun telah hadir hampir 1 juta orang.
Bukan itu sahaja, bersebelahan Anjung Tamu diikuti dengan pembinaan pintu gerbang menghiasi pintu utama UUM bersama dengan ‘tagline’ universiti iaitu ‘Discover UUM 2016’. Kemegahan pintu gerbang UUM dapat menarik pelajar dan orang luar secara tidak langsung yang berfungsi sebagai laluan pergerakan keluar masuk. Tambahan pula, situasi ini amat bersesuaian dengan kualiti persekitaran kampus yang dikelilingi keindahan flora dan fauna serta bukit-bukau yang menghijau.
Reka Bentuk dan Seni Bina
Dari segi reka bentuk dan seni bina anjung tamu berasaskan kepada gubahan sirih junjung yang menjadi simbol penting dalam pelbagai upacara masyarakat Melayu. Tambahan pula, ianya satu bentuk hantaran yang sangat penting digunakan terutamanya semasa majlis perkahwinan. Helaian sirih yang tersusun rapi di dalam tepak sirih juga digunakan sebagai pembuka bicara bagi mengalu-alukan tetamu di ruang serambi.
Selain itu, suasana di dalam anjung tamu itu mempunyai sistem pengudaraan dan pencahayaan yang semula jadi digunakan sepenuhnya pada bangunan ini. Penghadang juga dibina secara menegak dan melintang untuk membiaskan cahaya matahari memenuhi ruang anjung tamu. Tidak lupa juga reka bentuk bangunan ini menerapkan ciri-ciri seni bina Islam agar seni tersebut tidak tenggelam dek arus pemodenan seperti pemasangan konkrit pasang siap bercorak geometrik Islam.
Anjung tamu mempunyai dua aras iaitu aras pertama menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelawat dan tetamu antaranya ruang rehat, sudut bacaan, tandas awam, kedai cenderamata dan pameran. Tambahan pula, di dalamnya turut mempamerkan pokok sintok tiruan di ruang utama pintu masuk anjung tamu. Hal ini kerana pokok sintok dianggap sebagai simbolik sejarah Sintok. Manakala, aras dua pula menyediakan pejabat pegawai, bilik mesyuarat, pameran plak cederahati dan sudut bacaan. Bilik mesyuarat itu kerap diguna oleh organisasi luar seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan lain-lain.
Dari sudut luar Anjung Tamu pula turut menyediakan papan peta laluan di dalam UUM sebagai rujukan pelawat dan pelancong untuk melawat tempat yang ingin dituju. Hal ini dapat memudahkan mereka untuk pergi ke sesuatu tempat dengan panduan peta yang telah diberi. Kemudian, ianya turut menyediakan kerusi batu untuk pelawat beristirehat.
Pada sebelah malam, Anjung Tamu dihiasi dengan nyalaan lampu yang berwarna-warni yang dapat menarik lagi pelancong untuk bertandang. Bukan itu sahaja, pelajar juga dapat menghilangkan tekanan dengan berehat di luar anjung tamu sambil menikmati angin malam.
Anugerah dan Pencapaian
Di sebalik keindahan anjung tamu ini, UUM turut disenaraikan kedudukan yang ke-45 daripada 407 bersama universiti yang lain di seluruh dunia dalam UI Green Metric World University Ranking. Hal ini kerana UUM berjaya mengekalkan kehijauan alam sekitar yang terdapat dalam kampus. Di samping itu, Anjung Tamu juga telah berjaya memenangi Johan Landskap Terbaik pada tahun 2016 dan Johan Pertandingan Anugerah Tandas Bersih Peringkat Daerah Kubang Pasu pada tahun 2017 bagi kategori IPTA.
Pandangan dan Harapan
Salah seorang pelajar UUM, Siti Aisyah Bt. Azizh berkata reka bentuk anjung tamu UUM mempunyai pandangan yang sangat menarik sehingga tidak jemu untuk mata memandang.
“Anjung Tamu UUM sebagai tempat untuk persinggahan dan ianya amat sesuai dilawati oleh sesiapa sahaja. Hal ini kerana persekitaran yang tenang dan menarik serta sesuai untuk beristirehat sambil melihat pancutan air dan menangkap gambar. Bukan itu sahaja, pameran potret-potret yang indah dan berseni telah menghidupkan suasana yang menarik di Anjung Tamu. Sesiapa sahaja yang melangkah masuk pasti akan jatuh hati di tempat ini” katanya dengan memuji idea pembinaan Anjung Tamu.
Melalui sesi temu bual bersama pengurus Anjung Tamu iaitu Hjh. Rasidah berharap agar Welcome Centre ini menjadi ikon dan terkenal dimata dunia.
“Harapan saya agar pada suatu hari nanti Welcome Centre menjadi pusat pelancongan, ‘Surau dan Tandas dalam Taman’ dan tempat persinggahan pelancong yang menjadi tempat yang paling wajib untuk dikunjungi. Pada yang sama situasi ini juga dapat menjual produk daripada negeri Kedah” katanya.
Visi Anjung Tamu UUM adalah ingin menjadikan Anjung Tamu yang terkemuka di peringkat antarabangsa. Manakala bagi misi pula untuk memastikan Anjung Tamu sebagai pusat informasi, khidmat pelanggan, promosi dan hospitaliti bagi pelanggan, tetamu serta pelancong secara global.
Diharap agar UUM dapat mengekalkan keindahan kehijauan dan alam semula jadi sebagai identiti UUM dalam Universiti di Rimba Hijau.
Comments