top of page

UNIT KESELAMATAN UUM GADAI NYAWA DEMI KESELAMATAN WARGA KAMPUS

  • Writer: IDENTITY 36
    IDENTITY 36
  • May 6, 2018
  • 3 min read

Updated: May 17, 2018


ree

Oleh: Ahmad Nizar bin Azham

Emel : nizarazham@gmail.com

“Bersama-sama berprogram dengan anak-anak pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) seperti meneroka hutan, latihan kebakaran, perkhemahan dan sebagainya membuatkan saya begitu teruja berkhidmat di sini” ujar Leftenen Kolonel Hj Musa Bin Hj Bari, 57, ketika ditemuramah oleh wartawan baru-baru ini.


Anak kelahiran Sungai Siput Utara, Perak ini memulakan kerjayanya sebagai anggota kadet dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1980 di Kem Sebatang Karah, Port Dickson sehingga tahun 1994 sebagai Leftenen Kolonel. Beliau kemudian berkhidmat di UUM sebagai Pegawai Keselamatan pada tahun 2003 sehingga kini.


Membesar di kawasan penuh tragedi hitam tanah air menyebabkan Kolonel Musa bertekad sejak kecil untuk menjadi tentera kadet sebagai bukti cinta dan sayang terhadap tanah air. Menurutnya lagi, “negara pernah diisytiharkan darurat pada tahun 1948 kerana keganasan komunis di Pekan Sg Siput sehingga mengorbankan tiga orang pengurus ladang berbangsa Inggeris”.


“Dahulunya semasa saya berada dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdepan dengan pasukan komunis menyebabkan saya terpaksa mengangkat senjata dan ada diantara rakan-rakan saya yang gugur terkena jerangkap samar pihak komunis” tambah beliau.


“Saya bersyukur Allah masih memelihara saya sehingga ke hari ini dan berasa teruja apabila saya dapat berkongsi sedikit pengalaman saya bersama anda semua” tambahnya.

Bercerita mengenai kerjaya di UUM, antara cabaran terbesar yang pernah dihadapi beliau ialah ketika terpaksa berdepan dengan kebakaran besar yang berlaku di cafe Inasis Yayasan Al-Bukhary pada tahun 2008. Pasukan Unit Keselamatan UUM terpaksa mendapatkan bantuan daripada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam serta Jitra untuk memadamkan api yang begitu marak.


“Antara peristiwa lain lain yang masih menjadi igaun ngeri saya sehingga hari ini ialah ketika peristiwa banjir besar yang melanda Bukit Kachi, UUM pada tahun 2014 sehingga menyebabkan ada di antara pasukan penyelamat kita hilang dihanyutkan arus deras” katanya.

Tambahnya, ada juga beberapa pelajar UUM yang cuba untuk meredah kawasan banjir namun tiba-tiba dihanyutkan air deras. Walau bagaimanapun, mereka terselamat kerana sempat berpaut pada tiang elektrik.


“Kami juga pernah berdepan dengan satu rusuhan yang berlaku di PLKN UUM Sintok pada tahun 2004 di mana kami terpaksa mendapatkan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk meleraikan rusuhan tersebut dan ada diantara anggota kami yang cedera di lempar batu” kata beliau.


Selain itu, memandangankan UUM Sintok ini dibina dikawasan hutan, gangguan haiwan-haiwan liar juga tidak terlepas daripada menjadi cabaran buat anggota Unit Keselamatan UUM. “Kami pernah menerima aduan daripada warga kampus tentang haiwan liar seperti ular, harimau, babi hutan dan kera sering menganggu landskap dan keselamatan warga kampus” katanya.

“Telah menjadi tangungjawab kami untuk menjaga keselamatan setiap daripada warga UUM daripada segala ancaman yang boleh menganggu keselamatan dan ketenteraman biarpun adakalanya nyawa kami menjadi taruhan” ujarnya.


Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan ini lagi, terdapat seorang kakitangan UUM yang meninggal dunia kerana disondol oleh babi hutan dan seorang lagi patah tangan ketika sedang menaiki motosikal di kawasan Botani Garden UUM. Ini menyebabkan mereka mengambil keputusan dengan kerjasama Jabatan Perhilitan untuk memburu babi hutan liar ini dan daripada tahun 2010 sehinga tahun 2018, sebanyak 148 ekor babi hutan telah berjaya ditembak mati.


Sementara itu, beliau apabila diminta mengulas mengenai isu kereta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM disimbah cat baru-baru ini menyifatkan insiden tersebut sebagai suatu perkara yang serius dan sebagai mahasiswa terpelajar, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan perkara ini telahpun diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


“Saya juga ingin mengambil kesempatan disini untuk menasihati para pelajar UUM untuk terus menjaga nama baik UUM dengan menggunakan platform media sosial dengan sebaiknya kerana jika tidak, ia akan memberi kesan yang negatif kepada mahasiswa itu sendiri terhadap pasaran kerjaya nanti” katanya.


Di samping itu, beliau juga mengingatkan agar setiap daripada mahasiswa UUM untuk menyedari tentang tujuan keberadaan mereka berada di UUM adalah untuk belajar bersungguh-sungguh selari dengan hasrat diri dan ibubapa di kampung halaman.


“Kami di Unit Keselamatan UUM hanya menjalankan tugas dan penguatkuasaan demi keselamatan warga kampus dan tidak mengharapkan apa-apa pujian dan penghargaan kerana ianya sudah menjadi tanggungjawab kami” katanya menutup perbualan kami.

Comments


© 2018 by IDENTITY 36. Proudly created with Wix.com

Unknown Track - Unknown Artist
00:0000:00

Thanks! Message sent.

bottom of page